Thursday, November 13, 2008

Sistem pendidikan mesti berubah

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) perlu bergerak ke arah pembaharuan intelektual bagi menghadapi cabaran dunia pada masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara paling penting yang perlu dilakukan untuk bergerak ke arah tersebut adalah memajukan infrastruktur intelektual.

Menurut beliau, ia bertujuan untuk menjadikan pusat pengajian tinggi di negara ini cukup mantap dan bebas daripada kongkongan tradisi.

‘‘Sistem pendidikan kita mesti berubah, paradigmanya mesti diubah jika ingin menghadapi cabaran dunia yang lebih mencabar pada masa depan.

‘‘Perubahan itu perlu berlaku secara menyeluruh dalam sistem pendidikan bermula dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama di Seminar Mencetuskan Gelombang Biru Dalam Sektor Pendidikan 2008 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Seminar itu adalah anjuran bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Persatuan Kolej dan Universiti Swasta Malaysia (MAPCU.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Presiden MAPCU, Dr. Parmjit Singh dan Pengarang Buku Blue Ocean Strategy, Prof. W. Chan Kim.

Menurut beliau, institusi pengajian tinggi yang sedia ada tidak hanya lebih tertumpu kepada infrastruktur fizikal semata-mata.

Sebaliknya, kata beliau, ia perlu berubah selaras dengan perkembangan terkini di peringkat global.

Najib berkata, pembaharuan intelektual itu boleh menjadikan Malaysia pintu masuk yang strategik di antara Timur dan Barat, di dalam dunia Islam dan Kristian serta di dalam masyarakat Melayu, Cina dan India.

‘‘Hakikatnya mana ada negara yang mempunyai kelebihan unik seperti ini?

‘‘Mari kita ambil kesempatan yang ada dan kita perlu berfikiran terbuka serta bergerak ke era pembaharuan intelektual,’’ katanya.

Najib seterusnya berkata, hubungan rapat Malaysia dengan China sudah terbentuk sejak zaman Kesultanan Melaka walaupun negara berkenaan adalah kuasa dunia ketika itu, mereka tidak pernah menjajah negara ini.

Menurutnya, institusi pengajian tinggi boleh menggunakan strategi ‘gelombang biru’ sebuah buku yang ditulis oleh Profesor W. Chan Kim bagi memastikan bidang pendidikan dan latihan berdaya saing di peringkat global.